Baru-baru ini saya berkesempatan menonton teater dongengan termasyhur iaitu teater Bawang Putih Bawang Merah di Istana Budaya. Teater ini merupakan hasil buah tangan dari Erma Fatima sebaik sahaja melabuhkan tirai teater Mok Cunnya pada beberapa minggu yang lalu. Berlatar belakangkan dari kisah dongeng yang sering diceritakan samada dalam bentuk novel ataupun siri TV, mampukah teater Bawang Putih Bawang Merah membawa kelainan dan mendapat sambutan peminat teater tempatan? Mari kita sama-sama saksikan review penuh saya.
bawang11bawang09

Sebagai permulaan, saya rasa Erma Fatima sememangnya telah bijak memilih barisan pelakon yang hebat dan memberi penekanan kepada satu-satu watak. Watak Mak Kundur misalnya yang dilakonkan oleh Kak Ogy, sememangnya tidak dapat dinafikan begitu bertenaga dan memberi impak kepada keseluruhan persembahan teater. Dialog menengking dan mendera Bawang Merah memang nampak hidup seolah-olah ianya memang berlaku di depan mata. Habis semua ayat kasar digunakan seolah-olah melepaskan geram yang teramat sangat. Rasa puas bila dapat melihat Mak Kundur melepaskan kemarahan kepada Bawang Merah.

Watak Mak Labu lakonan  Fazlina iaitu adik kepada Kak Ogy juga tidak kurang hebatnya. Seperti yang kita tahu, Fazlina juga sebenarnya sinomim dengan watak jahat namun di dalam teater ini dia memegang watak yang berbeza. Mak Labu bersifat merendah diri dan pasrah terhadap apa yang berlaku. Kekadang, Mak Labu akan bersifat menentang dan protective bila anaknya Bawang Merah dijadikan isu pergaduhan.

bawang10 bawang08

Watak utama Bawang Putih Bawang Merah iaitu lakonan Juliana Evans dan Fathia juga tidak mengecewakan. Fathia begitu akur diherdik, ditarik rambut dan dimarahi oleh Mak Kundur. Hampir setiap 10 minit pasti akan ada babak menarik rambut ataupun babak kena marah. Kadang-kadang nampak macam betul-betul kena pukul ataupun kena tarik rambut. Walaupun saya dapat lihat kadang-kadang Fathia seolah-olah berlinangan air mata ketika dimarah, tetapi dapat rasa perbezaan lakonan yang amat ketara di antara Kak Ogy dan Fathia.

Juliana Evans pula memainkan watak Bawang Putih yang bersikap mengada-ngada, gedik dan bersuara sengau. Jarang Juliana Evans memainkan watak seperti ini. Walaupun kadang-kadang gediknya tu nampak melampau, tapi ianya nampak sangat unik dan menghiburkan.

bawang07 bawang06

bawang04

Dari segi set teater pula, teater Bawang Putih Bawang Merah menyajikan set persembahan yang menarik dan ringkas. Terdapat beberapa babak yang berulang-ulang menggunakan set yang sama sehingga sudah dapat dibaca penonton. Dalam banyak-banyak set, terdapat satu set yang memukau penonton iaitu set ketika Bawang Merah memberi makanan kepada ibunya yang telah bertukar menjadi ikan kaloi. Set pentas dibahagi kepada dua bahagian dan penonton dapat melihat apa yang berlaku di dalam air kolam.

Ianya begitu memukaukan sehingga kini saya tak terfikir bagaimana ianya dilakukan.

bawang03 bawang02 bawang01

Pelakon akan turun dari kiri dan kanak pentas bagi menghabiskan babak masing-masing dan secara serentak memberi ruang kepada petugas pentas menukar kepada set yang baru. Untunglah kepada penonton yang duduk ditepi kiri dan kanan pentas kerana pelakon-pelakon lebih dari 10 kali berjalan keluar masuk di sini dan kadang-kadang terbaring dihadapan penonton.

Perjalanan persembahan teater Bawang Putih Bawang Merah akan mudah dijangkakan oleh penonton kerana tiada elemen baru yang diserapkan. Perjalanan ceritanya sama seperti kisah di dalam buku cerita ataupun siri TV tetapi digarap dengan cara yang sedikit berbeza dan ditonjolkan dengan pelakon-pelakon terkenal. Kejayaan teater ini bergantung sepenuhnya pada lakonan pelakon dan adegan spontan yang mencuit hati. Tahniah kepada tenaga produksi teater Bawang Putih Bawang Merah kerana telah berjaya menjayakan teater ini.

2,193 total views, 1 views today

About author View all posts Author website

Mohd Zarin

Mohd Zarin

Blogger, Web, Photographer, Travel, Foods and Social Media

1 CommentLeave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge