Teater Zombie LaLaLa merupakan sebuah karya terbaru CTRA Production yang pertama kali menampilkan teater yang menggunakan genre komedi seram. CTRA Production sebelum ini telah berjaya membawa persembahan teater hebat seperti Tenggelamnya Kapal Ven Der Wick, Di Bawah Lindungan Kaabah, Upin Ipin Musical dan banyak lagi. Nama CTRA di dalam perkembangan teater tempatan tidak perlu dipertikaikan lagi kerana mereka sememangnya mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas.

Pada kaca mata saya, cabaran utama teater ini adalah durasi persediaan dan latihan yang sangat terhad. Saya dimaklumkan pelakon-pelakon teater hanya ada 8 hari untuk latihan tarian dan lakonan. Masa yang ada untuk persediaan set, props dan juga costume tidaklah semewah seperti teater sebelum ini. Saya berkesempatan menonton teater ini di Istana Budaya tempoh hari dan ini adalah review jujur saya.

zombie lalala

zombie lalala

Teater Zombie LaLaLa merupakan teater komedi yang berkonsepkan jenaka ringan dan semata-mata bertujuan untuk menghiburkan. Jalan ceritanya tidak terlalu berat dan direka supaya mudah difahami. Terdapat 8 watak utama yang dilakonkan oleh pelakon terkenal seperti Amar Baharin, Siti Saleha, Hafreez, Amy Mastura, Zulin Aziz, Janna Nick serta dua pelakon teater iaitu Mei Fin dan Rosnan Rahman yang merupakan selling point bagi teater ini. Kesemua watak utama ini masing-masing membawakan hantu yang berbeza dan unik. Beberapa watak hantu juga dapat dilihat diambil dari watak-watak terkenal dan diparodikan.

zombie lalalazombie lalala

Lakonan Watak

Meskipun terlalu ramai watak utama yang dipertonjolkan, tetapi penonton tidak akan rasa “rugi” kerana kesemua watak utama ini sentiasa berada di atas pentas bagi melakonkan watak masing-masing. Dari satu babak ke babak seterusnya, mereka sentiasa menemani penonton selama 3 jam di pentas utama. Dengan perwatakan yang berbeza, setiap zombie menjadikan jalan cerita teater ini lebih menarik dan tidak bosan. Lakonan Janna Nick sebagai MeMangNak sangat menarik perhatian kerana loghat siamnya sungguh mencuit hati. Walaupun pertama kali berlakon di pentas Istana Budaya, tapi Janna tidak kekok dan tenggelam oleh pelakon lain yang lebih senior. Perwatakannya yang tidak berhenti bergelek dan membuat lawak spontan sangat menghiburkan dan patut dipuji.

zombie lalalazombie lalala

Walaupun nama Kapten Cook seolah-olah diambil dari watak cerita Peter Pan, tetapi watak Amar Baharin lebih menyamai watak Kapten Jack Sparrow dari Pirates of Caribbean. Ini bukan kali pertama Amar berlakon di dalam teater dan teater ini membuktikan kebolehannya. Perwatakan ala-ala mabuk laut Jack Sparrow dibawa dengan baik oleh Amar. Malahan ianya lebih baik jika dibandingkan ketika media preview beberapa hari sebelum persembahan sebenar. Kebanyakkan komedinya datang dari gerak badannya yang sentiasa tidak dijangka. Walaupun watak Kapten Cook tidak sekelakar yang diharapkan oleh Amar, tapi saya rasa ianya satu percubaan yang baik.

Seorang lagi “darah baru” di dalam dunia teater adalah Hafreez Adam yang merupakan percubaan kali pertama. Melakonkan watak Elvi Pasola, Hafreez berpakaian seakan-akan Elvis dan sering membuat aksi menari “twist” di dalam apa keadaan sekalipun. Elvi Pasola sering muncul di dalam apa jua perbualan dan diperlihat sebagai seorang yang ingin membantu tetapi akhirnya hanya menari. Banyak pergerakan badan dari Hafreez yang melucukan walaupun ianya berulang.

zombie lalalazombie lalala

Salah seorang Zombie cantik di dalam teater ini adalah Siti Saleha yang melakonkan watak CleoPapa yang sentiasa berada di dalam karakter sendiri. Watak CleoPapa merupakan pengambilan dari watak asal iaitu Cleopatra. Saleha amat sesuai membawakan watak CleoPapa dan sentiasa berada di dalam pose yang menawan. Watak CleoPapa bukanlah seorang yang kelakar tetapi lebih kepada mengimbangi watak-watak lain yang lebih “gila-gila”.

Watak Miss-K iaitu presiden zombie yang dilakonkan oleh Zulin Aziz sangat berkesan bagi saya. Walaupun wataknya sebenarnya adalah serious, tetapi sesetengah dialog seriousnya menjadi bahan jenaka kerana dilakonkan dengan begitu serious. Apa yang keluar dari mulut Miss-K sangat wise  sebagai seorang ketua dan sering dituruti oleh zombie yang lain. Berbeza dengan watak yang lain, Zulin tidak banyak bergerak kerana harus mengekalkan watak Maleficentnya.

Dua pelakon Zombie LaLaLa yang mungkin ramai tak kenal adalah Mei Fin dan Rosnan Rahman. Walaupun kurang ternama jika dibanding dengan pelakon-pelakon lain, tetapi mereka sebenarnya merupakan pelakon teater yang sangat berbakat. Lakonan mereka tidak kurang hebatnya dan sedikit pun tidak nampak tenggelam dengan watak-watak lain. Masing-masing mempunyai perwatakan yang menarik serta gerak badan yang melucukan.
zombie lalalazombie lalala

Kesemua pelakon teater Zombie LaLaLa berjaya membawa kelainan dan mencuri hati penonton. Namun begitu, yang paling menghiburkan pada pendapat saya adalah Amy Mastura yang melakonkan watak Happy Witch. Amy Mastura mencuit hati penonton dengan aksi penyapu ajaibnya yang sering berlaku adegan tidak dirancang seperti tercabut dan tertinggal. Amy Mastura membawakan watak Happy Witch dengan baik dan banyak dialog spontannya yang membuatkan satu dewan gelak terbahak-bahak. Dengan menggunakan tagline “Dekat Je” iaitu tagline Tourism Malaysia yang menjadi penaja bagi teater ini, Amy Mastura membawa tagline ini dengan berjaya sekali. Walaupun telah disebut berulang kali, tetapi penonton masih mampu ketawa dengan aksi Amy Mastura.

Selain itu juga, Amy Mastura sering menjadi bahan terjah oleh watak-watak lain kerana semua tahu yang Amy Mastura akan melatah secara tiba-tiba di atas pentas. Semua watak-watak utama ini sungguhpun berbeza personaliti, tapi perbezaan mereka menjadikan teater ini begitu unik dan lengkap. Pujian juga harus diberikan kepada watak-watak lain seperti kerana lakonan mereka yang sungguh luar biasa.
zombie lalala

zombie lalala

Kostum Pakaian

Bagi peminat teater pasti akan rasa teruja melihat pelbagai kostum yang dipersembahkan pada teater Zombie LaLaLa. Pelbagai jenis dan latar belakang kostum di Zombie LaLaLa membuatkan saya terfikir macam-mana mereka hasilkan kostum yang begitu cantik dan sepadan dengan pemakainya. Walaupun semua kostum mempunyai konsep dan material yang berbeza tetapi semuanya nampak seolah-olah berada di dalam dunia yang sama. Dengan masa yang sangat suntuk, tenaga produksi mampu mencipta kostum teater yang sempurna.

Bagi saya kostum CleoPapa adalah diantara yang paling sukar dihasilkan kerana details yang terdapat pada pakaian serta aksesori pada Siti Saleha. Tidak kurang juga dengan kostum Miss-K yang bertanduk dan berbulu. Kostum hantu-hantu lain yang menjadi penari serta penampilan istimewa juga nampak sangat menyakinkan. Tambahan pula dengan lakonan ala-ala hantu serta efek lampu, sekali pandang memang nampak macam hantu.

zombie lalala zombielalala zombielalala

Set Latar Belakang dan Props

Saya yakin dengan masa yang suntuk CTRA tak banyak pilihan untuk membina set yang besar seperti pada teater-teater sebelum ini. Dengan kekangan masa yang ada, teater ini tidak memfokuskan kepada set latar belakang yang gah tetapi lebih kepada lakonan serta dialog humor pelakon. Walaupun menggunakan set latar belakang yang sangat minimum, tetapi teater ini tidak menampakkan kekurangan kerana penonton sudah asyik tergelak dengan aksi zombie-zombie.

Keseluruhan

Pada awalnya, teater Zombie LaLaLa bukanlah teater yang diberi harapan tinggi. Dengan pelbagai cabaran dan kekurangan, CTRA Production menggunakan pengalaman mereka bagi memberikan impak kepada teater ini. Pihak produksi tidak risau dengan kekurangan yang ada malahan memberi penekanan kepada kekuatan yang mereka boleh berikan. Walaupun menggunakan konsep komedi ringan dan santai, tapi apa akhir teater ini terdapat mesej yang sangat bermakna dan tidak disangka. Apa yang paling penting sekali semua orang terhibur dan berkongsi gelak tawa disepanjang persembahan teater ini.

 

1,977 total views, 3 views today

About author View all posts Author website

Mohd Zarin

Mohd Zarin

Blogger, Web, Photographer, Travel, Foods and Social Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge