Pasti ramai yang sudah menonton video dari Youtube Channel Les’ Copaque untuk segmen Cita-Citaku mengenai kisah Wartawan Berita yang diupload pada beberapa hari yang lepas. Video berdurasi 4 minit ini walaupun nampak simple namun sebenarnya pelbagai pengalaman yang saya lalui disepanjang proses rakaman video ini dijalankan. Proses keseluruhan program ini mengambil masa lebih kurang sebulan yang mana bermula dari permohonan melalui emel sehinggalah video akhir ini siap.
Objektif utama video ini adalah untuk memberi pendedahan kepada penonton mengenai kerjaya sebagai seorang wartawan dan secara tak langsung memberi gambar yang lebih jelas dan memberi semangat kepada pelajar-pelajar untuk memilih kerjaya ini. Saya memohon kepada pihak pengurusan Berita Harian untuk mencadangkan wartawan dari ruangan berita. Ini adalah kerana kebanyakkan dari kenalan media saya adalah di dalam ruangan hiburan. Pendapat awal saya, lebih baik kalau wartawan dari ruangan berita yang dihighlight kerana pelbagai sudut boleh dirakam nanti.
Alhamdullilah, saya diketemukan dengan En Ismail Bin Mat yang mempunyai 20 tahun pengalaman di dalam bidang kewartawanan. First impression masa berjumpa dengan En Ismail ialah saya dapat rasanya beliau adalah seorang yang berpengalaman luas dan mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang kewartawanan. Saya begitu teruja dengan cara En Ismail menceritakan laluan kerjayanya dari usia muda hingga ke hari ini. Beliau bermula dengan menyertai sidang redaksi majalah sekolah dan seterusnya menjadi wartawan sebelum dilantik menjadi pengarang berita. Dengan rasa tanggungjawab yang tinggi untuk mencari berita, beliau juga pernah ditugaskan di kawasan-kawasan bergolak seperti di Thailand dan Gaza. Diceritakan semula bagaimana ketika saat orang ramai berlari menjauhi diri dari bunyi letupan bom, beliau pula berlari ke arah punca letupan. Beliau juga pernah menemurah Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Najib Razak di dalam helikopter kerana kesuntukan masa. Selain itu, beliau juga banyak kali berdepan dengan mayat-mayat mangsa kemalangan ketika bertugas menjadi wartawan jenayah dulu. Mungkin fakta-fakta ini yang tak sempat dimuatkan di dalam video yang dah dihasilkan namun saya rasa ianya begitu menarik.
Saya telah menjalankan rakaman sebanyak 3 hari di lokasi yang berbeza. Betul, tempoh rakaman rasanya macam terlalu lama tapi untuk mendapatkan rakaman yang dikehendaki ianya memang perlu. Saya dan team New Media dibawa ke kilang percetakan Berita Harian yang terletak di Bukit Jelutong. Percaya atau tidak calltime untuk rakaman proses mencetak adalah pukul 12 pagi. Ini adalah kerana semua surat khabar sememangnya dicetak pada waktu ini. Pengalaman baru buat kami melihat secara dekat proses mencetak surat khabar dan secara tak langsung menjadi pembaca pertama naskah surat khabar pada hari tersebut.
Bila ditanya kenapa agaknya En Ismail begitu passionate menjadi seorang wartawan. Jawabnya mudah, adalah untuk menyampaikan berita kepada orang ramai. Ianya merupakan satu tanggung jawab besar yang digalas setiap hari. Kerja menjadi wartawan katanya adalah 24jam dan tidak mengira waktu. Kita harus bergerak seiring atau lebih cepat dari berita. Sekiranya ada apa-apa kes jenayah contohnya, kadang-kala wartawanlah yang sampai dulu ditempat kejadian sebelum pihak berkuasa. Wartawan harus membantu mangsa terlebih dahulu dan menggunakan daya pengamatan untuk mendapatkan berita. Untuk menjalankan temuramah bersama mangsa kemalangan dan sebagainya pula ada teknik-tekniknya yang tertentu. Communication skill penting bagi memastikan berita yang diterima adalah betul. Pendek kata, wartawan berita ini adalah seperti SUPERHERO. Wartawan harus berada ditempat kejadian setiap masa untuk membantu dan menyalurkan berita dengan ikhlas.
Terima kasih sekali lagi En Ismail kerana telah memberi peluang temuramah ini.
6,014 total views, 1 views today