Assalamualaikum dan Salam Ramadhan,
Melancong sepatutnya tidak menghalang umat islam dari berpuasa di bulan Ramadhan. Ada kalanya sesetengah orang terpaksa melancong ataupun ke luar negara di atas urusan kerja. Jangan jadikan ianya sebagai alasan untuk tidak berpuasa. Malahan jadikan ianya sebagai salah satu dorongan dan pengalaman baru ketika berada di tempat orang.
Saya sendiri pernah berpuasa ketika berada di Cannes pada beberapa tahun yang lalu di atas urusan kerja. Di sini saya ingin kongsikan beberapa tip yang boleh dijadikan panduan sekiranya anda berada di luar negara ketika bulan Ramadhan.
1. Periksa waktu solat
Rujukan waktu solat amat penting ketika berada di luar negara lebih-lebih lagi sekiranya berada di negara yang mempunyai berbezaan waktu. Gunakan aplikasi Prayer Time di smartphone sebagai persediaan awal. Semak waktu solat ketika masih berada di Malaysia bagi merancang masa sahur dan berbuka puasa.
2. Kenal pasti lokasi makanan halal
Salah satu cabaran besar adalah untuk mencari makanan halal sebagai juadah berbuka puasa. Oleh itu google terlebih dahulu destinasi yang ingin dituju sama ada mempunyai restoran makanan halal atau tidak. Sekiranya tiada, cari alternatif lain seperti roti ataupun salad yang mungkin dijual di gerai-gerai biasa. Ketika saya berada di Cannes, terdapat beberapa restoran makanan halal tetapi harganya terlalu mahal.
3. Simpan stok makanan di hotel
Ada orang yang tak boleh kalau tak makan makanan dari Malaysia. Tak salah kalau nak simpan stok makanan seperti sardin atau tuna yang dibawa dari Malaysia di hotel. Ianya lebih jimat dan lebih puas hati. Tapi awas dan jangan bawa terlalu banyak stok makanan tin kerana ada beberapa buah negara tidak membenarkan makanan tin di bawa ke negara mereka.
Kebanyakkan hotel di Indonesia pula menyediakan perkhidmatan bersahur samada secara buffet ataupun secara penghantaran ke bilik. Jangan risau, kerana pada kebiasaannya tiada caj tambahan kerana pakej makanan untuk sahur ini adalah sebenarnya penukaran dari pakej breakfast hotel.
4. Masak sendiri sekiranya mampu
Sekiranya berada di luar negara dalam tempoh yang agak lama, strategi yang paling sesuai adalah dengan masak sendiri. Booking tempat tinggal yang mempunyai dapur seperti apartment bagi membolehkan kita masak setiap hari. Kenal pasti kedai yang menjual bahan makanan halal seperti ayam dan beras. Kebanyakkan beras di luar negara dijual dalam kuantiti yang sedikit dan dipakejkan di dalam bentuk kotak. Jadi tak perlukan kita beli banyak sangat beras.
5. Sediakan snek/kurma
Kalau kita ada snek seperti biskut ataupun kurma, jangan lupa untuk simpan di dalam beg sebagai bekalan. Manalah tahu kita tak sempat cari tempat berbuka puasa sekurang-kurangnya adalah juga kurma.
6. Cari masjid
Sekiranya tiada idea langsung nak berbuka di mana, cubalah google masjid berdekatan. InsyaAllah, bukan saja dapat solat Maghrib di situ malahan ada juga makanan berbuka puasa.
Apa-apa sekalipun, pastikan kita sentiasa minum air dengan banyak ketika bersahur. Kesihatan amat penting dan harus dijaga setiap hari. Dugaan besar ketika berpuasa di negara orang adalah tiada orang yang akan marah kita kalau kita tak puasa. Tambahan pula semua orang tak puasa kecuali kita. Jangan jadikan ini sebagai alasan, kerana bila besar dugaan berpuasa, lebih lagi nikmat ketika berbuka puasa. InsyaAllah.
2,730 total views, 1 views today




