Assalamualaikum dan Salam sejahtera. Kali ni saya nak bawa pembaca blog MohdZarin.com ke utara tanahair iaitu di Kuala Kangsar, Perak. Rasanya semua orang dah kenal dengan makanan yang paling terkenal di Kuala Kangsar ni iaitu Laksa Kuala Kangsar. Tapi kali ni saya taknak bercakap mengenai makanan, tetapi nak berkongsi mengenai keindahan Masjid Diraja Kuala Kangsar iaitu Masjid Diraja Ubudiah.
Terletak di Bukit Chandan, Masjid ni sangat indah dan cantik. Kubah emas dan menara masjidnya merupakan diantara rekaan senibina masjid yang tercantik saya pernah lihat. Walaupun nampak begitu cantik, tak sangka rupanya Masjid ni telahpun berusia hampir 100 tahun dan telah dirasmikan pada tahun 1917.
Sebelum ni Masjid Ubudiah merupakan Masjid Negeri Perak sebelum Masjid Sultan Idris Shah II dibina di Ipoh pada tahun 1968. Masjid Ubudiah sekarang dikenali sebagai Masjid Diraja dan ditadbirkan oleh suatu Jawatankuasa Tadbir Masjid Ubudiah dan dipengerusikan oleh sesiapa yang dilantik oleh Paduka Seri Sultan.
Dari segi reka bentuk ia juga amat menarik. Ia berbentuk octagon dan mempunyai 4 buah menara setinggi 126 kaki serta dikelilingi oleh kubah-kubah di bahagian dalam yang mana tiap-tiap satu garis pusatnya berukuran sepanjang 60 kaki. Bahagian-bahagian dalam dinding dan lantai masjid ini menggunakan batu marmar berwarna merah dan putih yang di bawa khas dari Itali dan London.
Bentuk dinding masjid ini memperlihatkan sebuah bangunan berkubah induk besar di tengahnya serta dikelilingi dengan empat buah anjung yang mengandungi sebuah kubah pada pertengahan setiap anjung, lapan buah menara induk dan enam belas menara apit. Jumlah kubah dan menara dikatakan mengambil sempena aturan gelaran Orang Besar-Besar iaitu Orang Besar Ampat, Orang Besar de-lapan dan Orang Besar Enam Belas. Keluasan ruang induknya ialah 20 m x 20 m dan dilingkungi oleh serambi utama selebar 2.5 m yang juga mempunyai sebuah kubah. Sebuah kolah untuk mengambil air sembahyang terletak di sisi timur serambi tersebut.
Bersebelahan dengan Masjid Diraja Ubudiah ini terletaknya Makam Diraja khusus untuk persemadian kerabat Diraja.
Selain itu, berhampiran dengan Masjid ni juga ada sebuah rumah lama yang masih cantik. Saya dimaklumkan rumah ini dikenali sebagai Rumah Baitul Rahmah yang dibina pada tahun 1911. Pemilik asal rumah ini adalah Anakanda Sultan Idris-1 dan sekarang ni rasanya tiada penghuni. Namun begitu, rumah tersebut dan kawasan sekitar masih dijaga dengan baik dan rapi.
Tidak jauh dari Masjid Diraja Ubudiah ni juga terdapat Galeri Sultan Azlan Shah yang merupakan muzium barangan serta koleksi Sultan Azlan Shah. Terdapat bayaran minimum untuk masuk ke dalam galeri ni tetapi ianya sangat berbaloi sebab semua barang-barang dan koleksi yang dipamerkan di sini adalah barang yang asli. Semuanya disimpan dan dipamerkan dengan baik.
Sebenarnya dalam galeri ni gambar tak dibenarkan ambil, tapi saya dapat juga ambil beberapa gambar sebagai bahan rujukan.
Begitulah serba sedikit mengenai Masjid Diraja Ubudiah Kuala Kangsar yang indah dan cantik. Kalau berkesempatan ke Kuala Kangsar, bolehlah singgah ke sini untuk menunaikan solat dan menikmati keindahan di kawasan sekitar.
5,601 total views, 2 views today
Subhanallah cantik sungguh, sempat lalu je ritu. xsinggah huhu
belum berkesempatan singgah di sini…