Assalamualaikum dan Salam sejahtera. Sempena dengan bulan Ramadhan kali ini saya berpeluang berbuka puasa dengan hidangan istimewa di Hotel Grand Dorsett Subang. Walaupun pertama kali saya berbuka puasa di sini, namun saya terus berhajat akan menjejakkan kali sekali lagi di sini kerana menu berbuka puasanya yang menarik dan sedap. Nak tahu apakah menu yang sedap sangat dan berjaya menambat hati saya? Teruskan membaca review Bufet Ramadhan Hotel Grand Dorsett Subang.
Terletak di Subang, Selangor lokasi hotel ini mudah untuk dicari. Terdapat ruang parkir di bahagian luar hotel memudahkan sesiapa sahaja yang berbuka puasa di sini. Sebenarnya terdapat 2 ruang makan untuk berbuka puasa di Hotel Grand Dorsett Subang namun untuk sesi iftar kali ini, saya akan berkongsikan pengalaman berbuka puasa di ruangan Terazza Brasserie yang bertemakan Citarasa Ramadan.
Apa kata saya terus mulakan dengan hidangan menu utama yang dinanti-nanti ramai orang iaitu Kambing Panggang. Macam tak sahkan kalau berbuka puasa takde kambing panggang, rasa macam tak lengkap pula. Tapi yang membezakan kambing panggang di sini dengan bufet Ramadhan yang lain adalah ianya disediakan dengan rempah khas yang sedap. Memang terasa aroma dan rempah ketika menikmati isi kambing panggang di sini. Ianya boleh dimakan bersama Nasi Briyani Kambing ataupun Ayam serta boleh juga dijamu bersama Nasi Arab. Semua hidangan ini beserta beberapa hidangan lain seperti pita kebab, sate, char kuew tiao merupakan sebahagian dari menu utama yang disediakan stall bahagian luar.
Di sini semua menunya dimasak secara live bagi memastikan makanan yang disediakan sedap dan sesuai dimakan panas-panas selepas ianya baru disediakan.
Selain itu juga, menu lain yang special dan menjadikan menu berbuka puasa di sini unik adalah Sup Gearbox ataupun Sup Tulang Kaki Lembu. Cuba bayangkan perasaan bila dapat menikmati sup gearbox sebagai menu berbuka puasa. Sup Gearbox ini dihidangkan di dalam mangkuk besar buat setiap tetamu yang ingin mencuba. Nak sedap lagi kena sedut dengan straw di tengah-tengah gearbox barulah terasa lemak-lemak dagingnya sekali. Menang lazat sungguh bila sekali sekala dapat menikmati hidangan exotic macam ni.
Saya sendiri jarang-jarang menikmati sup gearbox kalau di luar kerana harganya yang agak mahal. Tetapi dengan harga Bufet Ramadhan Grand Dorsett Subang ni saya rasa berbaloi kerana terdapat pilihan menu istimewa macam ni.
Di bahagian dalam pula adalah kawasan menu utama yang lain seperti masakan kampung dan juga western. Menu sajian seperti Masak Lemak Cili Padi, Ikan Masak Sambal, Asam Pedas Pari adalah diantara beberapa menu masakan kampung yang mengiurkan saya. Contohnya masakan Udang Masak Lemak Cili Padi ni sungguh sedap kerana ianya dimasak dengan sedikit rasa pedas namun masih boleh dimakan. Terasa betul feel masakan kampung bila melihat semua senarai menu makanan kat sini. Tak lengkap pula selera kampung kalau takde sambal belacan dan ulam-ulaman. Kat sini memang banyak pilihan ulam-ulam beserta pilihan sambal-sambal seperti sambal belacan, tempoyak, budu dan macam-macam lagi. Selain itu pelbagai pilihan kerabu juga disediakan, ada kerabu mangga, taugeh dan banyak lagi. Boleh meleleh air liur tengok semua menu-menu ni. Terus terasa nak makan nasi.
Selain itu juga bagi yang meminati menu masakan western juga terdapat banyak pilihan makanan masakan barat seperti pasta, macaroni dan banyak lagi. Walaupun saya sendiri tak berkesempatan merasai kesemua menu-menu western di sini, namun beberapa menu western yang sempat saya rasa tidak mengecewakan. Ianya bukan saja sedap tapi keseluruhan rasanya yang cukup dan tidak kurang atau lebih.
Salah satu menu yang menarik perhatian saya adalah Bubur Lambuk. Ianya sedikit berbeza dengan bubur lambuk yang biasa saya makan kerana ianya ada rasa sedikit berempah dan berwarna lebih gelap. Menurut Chef, Bubur Lambuk versi ini juga dikenali sebagai Bubur Asyura dibeberapa kawasan. Patutlah sedap sedap saya tak pernah makan bubur asyura. Sampai 2 mangkuk saya makan bubur ni sebab sedap sangat.
Terdapat banyak pilihan pencuci mulut yang disediakan termasuklah Air Batu Campur seperti di dalam gambar di bawah. Kalau tak cukup lagi, boleh juga cuci mulut dengan Aiskrim Turki yang menyediakan 4 pilihan perasa termasuklah perasa Durian D24.
Suasana berbuka puasa di sini juga meriah kerana tetamu dihiburkan dengan sentuhan muzik tradisional dari Ghazal Sri Kenchana.
RM165 nett dewasa
RM132 nett warga tua
Selangor
8,392 total views, 2 views today