Walaupun belum lagi bulan Ogos, tapi semangat kemerdekaan telah pun terasa selepas acara Pra Pelancaran Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka pada awal bulan Jun yang lalu. Ini adalah kali pertama saya menyertai acara Pra Pelancaran di Dataran Merdeka. Kalau sesiapa ingat betapa sibuknya saya pada sambutan Hari Merdeka tahun lepas, nampaknya saya akan sibuk juga pada tahun ini.
Tapi walaupun sibuk dan penat, tapi sebenarnya aktiviti macam ni sangat seronok dan merupakan pengalaman sangat berharga apatah lagi ianya adalah acara besar untuk Malaysia.
Acara Pra Pelancaran ini bermula dari awal pagi lagi dengan pelbagai acara seperti tarian, senamobik dan juga penampilan maskot-maskot animasi negara termasuklah Upin & Ipin. Yang uniknya, kesemua acara-acara ini juga turut disertai oleh pelancong-pelancong asing. Pada waktu malam pula persembahan nyanyi diadakan oleh beberapa artis tempatan seperti Dato Hattan dan Adira.
Pada sekitar jam 9,30 malam barulah acara Pra Pelancaran bermula selepas ketibaan Menteri Komunikasi & Multimedia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek. Menurut Dato’ Sri, sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini agak berbeza kerana buat pertama kalinya rakyat Malaysia tidak akan lagi menyebut sambutan Hari Kemerdekaan yang ke berapa tahun seperti sebelum-sebelum ini. Ianya bakal disebut sebagai sambutan Hari Kebangsaan bagi menghormati negeri Sabah & Sarawak yang membentuk Malaysia pada tarikh yang berbeza.
Selain itu juga, pada tahun ini sambutan Hari Kebangsaan juga menggunakan tema #SehatiSejiwa yang juga turut digunakan pada malam tersebut. Hashtag #sehatisejiwa boleh diguna pakai pada Facebook, Instagram ataupun Twitter sesuai dengan dunia media sosial sekarang. Menerusi kempen promosi Hari Kebangsaan tahun ini juga, Kementerian turut melancarkan laman web rasmi 31Ogos.my dan rangkaian media sosial yang lain seperti instagram & twitter yang turut menggunakan nama @31Ogos.
Selain itu, buat pertama kalinya juga merchandise pakaian rasmi Hari Kebangsaan dipergayakan oleh model-model tempatan dan direka agar nampak lebih elegant dan premium. Rekaan baju-baju ini menggunakan konsep minimalis dan nampak berkualiti seakan-akan baju Polo. Semua pakaian-pakaian ini dan banyak lagi merchandise rasmi akan mula dijual di portal rasmi 31 Ogos nanti.
Selain itu, Dato’ Sri juga turut melepaskan konvoi Eksplorasi #sehatisejiwa yang melibatkan 2 kenderaan Jabatan Penerangan, 10 kereta Proton terdiri daripada pelbagai model, 20 motosikal berkuasa besar dan sebuah lori yang bakal menjelajah ke seluruh negara untuk mempromosikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
4,512 total views, 1 views today